Tengah dari kiri : Nisa (4A1B), Izyani (5A), Mira Farisha (5A), Hazlin Elida (4A1B), Fatin Humaira (4A1B), Filza (4A1B), Ain (5A)
Depan dari kiri : Pn Fatimah (GPK Ko), Pn Hamidah (GPK HEM), En Mohd Tasrib (GB), PN Jamaliah (GPK1)
Menuju Matlamat Yang Satu .....
Bukalah tingkap terlebih dahulu sebaik memasuki kereta anda dan jangan sama sekali menghidupkan pendingin hawa. Berpandukan kepada kajian yang dijalankan, dashboard, sofa, pewangi udara menghasilkan Benzene, sejenis toksin yang menyebabkan kanser (carcinogen - ia dapat dikenalpasti melalui bau yang terhasil dari haba bahan plastik di dalam kereta). Disamping menyebabkan kanser, ia juga bertindak sebagai racun bagi tulang, menyebabkan anemia dan mengurangkan sel darah putih. Tindakan ini jika dibiar berlarutan akan menyebabkan Leukemia, meningkatkan risiko menghadapi kanser di samping punca keguguran.
Kadar pendedahan Benzene yang dibenarkan ialah 50 mg bagi setiap kaki persegi. Kereta jika diparkir di kawasan bebumbung dengan tingkap tertutup menghasilkan 400-800 mg Benzene. Jika dibiarkan dikawasan yang terdedah dengan tingkap yang tertutup pada suhu 60 darjah fahrenheit, tahap Benzene boleh meningkkat sehingga 2000-4000 mg, iaitu 40 kali dari tahap yang dibenarkan... dan penumpang di dalamnya akan menyedut toksik yang berlebih2an secara tidak sedar.
SILATURAHIM adalah satu sunnah yang tidak lagi diminati masyarakat hari ini.
Buktinya ada di mana-mana. Wujudnya kejengkelan terhadap silaturahim bermula daripada diri individu seterusnya melanda kepada institusi kekeluargaan.
Ada banyak kes pada hari ini menunjukkan silaturahim bsukanlah suatu ikatan yang diutamakan dalam diri setiap individu.
Antaranya, kes pembunuhan ibu atau bapa oleh anak-anak, suami membunuh isteri yang sedang menyusukan anak, isteri membunuh suami yang curang dan juga cucu membunuh nenek atau datuk.
Malah, yang paling menyayat hati seorang ibu sanggup menggugurkan anak yang dikandung dan jika lahir pun, bayi itu sanggup dibuang merata-rata laksana sampah yang tiada nilainya.
Hubungan kekeluargaan adalah satu usaha untuk membentuk masyarakat Islam yang berkualiti.
Dalam hubungan ini, kepentingan setiap individu terjamin apabila setiap anggotanya saling sayang menyayangi, melindungi dan ingat-mengingati.
Allah s.w.t berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 1, bermaksud: “Dan takutlah kepada Allah yang minta-meminta kamu dengan nama-Nya dan (takutlah akan memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah mengawasi kamu.”
Ibu bapa mempunyai kedudukan mulia di mata Allah. Ibu bapa juga adalah orang yang paling hampir dengan kita dari aspek ikatan kekeluargaan dan pertalian darah.
Selayaknya ibu bapa menerima penghargaan yang maha besar dari Allah sebagai orang yang harus dihormati kerana jasa mereka sejak kita dalam kandungan sehingga dewasa.
Malah, sehingga kita mati pun, jasa dan pertalian darah antara kita dan ibu bapa tak akan pernah putus. Iman seseorang juga tidak sempurna jika mencalarkan kebeningan hati ibu bapa.
Begitu juga bila berbicara mengenai jasa dan pengorbanan ibu bapa yang tidak dapat dibalas dengan apa jua perkara.
Pernah diceritakan pada zaman nabi mengenai jasa seorang ibu membesarkan anaknya.
Kisah ini berlaku ketika Abdullah Umar melakukan tawaf di Baitullah.
Ada seorang lelaki berasal dari Yaman memikul ibunya bertawaf dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Peluh mengalir di wajahnya, dia amat keletihan.
Orang itu bertanya kepada Ibnu Umar: “Apakah menurutmu aku membayar jasa ibuku atas apa yang ia lakukan untukku selama ini?”
Ibnu Umar menjawab: “Demi Allah, tidak walaupun satu nafasnya.”
Selain ibu bapa, kita juga harus menjaga silaturahim sesama jiran. Jiran tetangga adalah kerabat paling hampir dengan keluarga kita.
Malah, hubungan rapat dan mesra yang terjalin kadangkala melebihi sanak-saudara yang mempunyai pertalian darah dengan kita.
Allah memerintahkan manusia supaya berlaku baik terhadap jiran tetangga, sama ada jiran tetangga yang dekat atau jauh.
Ini jelas sebagaimana firman-Nya dalam surah an-Nisaa’, ayat 36, bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan- Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membanggakan dirinya.”
Dingin. Kaki tanganku terasa dingin. Barangkali udara di bawah paras beku. Terasa darah ku membeku. Tidak bergerak. Tanganku masih memegang sebuah buku yang tebal, di muka surat halaman, depannya jelas tertulis “Al- KITAB”, di lakar dalam bahasa malaysia, lengkap dengan tanda baca. Aku tunduk pilu bertandang lagi, menokok pilu yang ada. Ku serahkan seluruh nurani ku kepada tuhan.
Aku tidak membantah apabila di suruh beralih sedikit demi sedikit, semakin jauh dari jenazah emak. Mulanya akulah yang paling kanan. Begitu dekat..Begitu nekad. Tetapi siapalah aku untuk berada sedekat itu? Aku bukan manusia penting. Orang tidak memerlukan ku sama sekali. Ruang tadinya kosong, kini sudah dipenuhi oleh sekian ramai tamu. Yang datang dari dekat, dari jauh, sama ada jiran-jiran ataupun saudara mara. Adik beradik emak juga ada yang sudah tiba. Anak-anak emak semuanya sudah ada, iaitu kakak dan abangku. Antara mereka siapalah yang sudi menghiraukanku ! sedang aku pun cuba mengawal diri, tetap menjadi diriku sendiri, bukan bergantung kepada emosi.
Sesekali ku cuba memerhatikan manusia di sekeliling, ramai juga, berhimpit-himpit mungkin di sebabkan halaman rumah kami yang tidak terlalu besar dan di luar gerimis halus sudah lebat berjatuhan. Ada juga mata yang melirik kepadaku. Entah simpati.. entah menghina. Entah menambah luka di hati ini. Ah, apalah ada pada pemuda cacat, cuma menambah sakit mata memandang.. segaris rintihan menjalar dalam diriku. Biarlah suara rintihan ini hanya bergema di dalam, agar tidak kujadikan umpan untuk memancing belas kasihan orang. Tangan ku, sesekali meraba-raba hujung kaki kiri ku. Kaki yang pincang, tidak normal, bengkak sedikit dan tidak begitu kuat. Kalaulah aku berdiri, bahu kiriku kelihatan sedikit rendah. Kalaulah aku berjalan, melangkah kaki, jelas benarlah kepayahanku. Terhenjut-henjut dan sakit.
Sejak dulu, aku telah membiasakan diri berpaut pada dinding rumah atau apa-apa yang boleh mengurangkan kepayahanku. Memang kedaan tubuhku tidak stabil, di tambah pula aku sering mengalami demam panas, yang kerap dan berulang-ulang. Dan itulah berbelas tahun yang ku lalui sendirian. Pernah sekali, aku jatuh dan tidak sedarkan diri. Selepas itu, tangan kiriku pula lemah dan kebas. Kecacatan dan kekurangan itu mencampakkan diriku ke dalam keterasingan yang senyap dan gelap. Tidak ada cahaya. Tidak ada jalan keluar. Malah bertambah sunyi sejak bapa meninggal. Bapa, orang yang satu-satunya begitu rapat denganku. Begitu dekat denganku. Tetapi bapa sudah jauh dan tak kan lagi mengutip air mataku. Tak kan lagi berkongsi deritaku. Tak kan lagi menemani sendirianku.
Hanya bapa yang ada simpati itu. Kasih sayang. Perhatian itu dan segala-galanya. Hilang tongkat..hilang cermin..hilang payung yang selalu melindungi ku daripada panas dan hujan. Hilang kamar-kamar tempatku melepaskan mimpi. Aku terapung-apung kerana emak tidak mesra kepadaku. Semua kakak dan abangku tidak mesra kepadaku, tidak kasih kepadaku, tidak peduli siapa aku. Apabila bapa tiada, maka tiadalah sesiapa yang ambil berat tentang diriku. Emak tetap jauh. Kakak dan abang juga tetap jauh. Dan aku semakin jauh… Emak pernah meninggalkan aku sendirian di rumah, berhari-hari lamanya. Aku tidak tahu emak ke mana sebab tidak ada pesan, tidak ada ingatan untukku. Mungkin emak menziarahi ke rumah kakak
Aku sendiri terkatung-katung sepi. Aku jaga rumah , jaga ayam itik. Pengalaman membantu bapa mengutip kelapa sawit yang gugur memberiku kekuatan dan semangat untuk terus berani agar hidup tidak terus terbiar dalam kesedihan. Malah itu membuktikan aku mampu juga berbakti kepada emak. Apabila buah kelapa sawit sudah masak, aku memetiknya. Aku minta tolong Pak Musa panggilkan Sudin. Emak memang jual kelapa sawit kepada Sudin. Wangnya ku simpan. Apabila emak balik kuserahkan semunya. “Anak tak guna! Nyusahkan aku aje !”Emak pernah merungut begitu di depanku, apabila Pak Musa menegurnya kerana membiarkanku sendirian begitu lama. Aku tidak mahu simpan semua sumpahan dan caci maki itu. Biarlah ! Biarlah ia berlalu seperti air mengalir. Biarlah ia berlalu seperti angin bertiup, biarlah ia berlalu menjadi kenangan. “Jangan nak jadi bos dalam rumah ini! Kalau nak makan buat kerjalah!” tengking emak. Suaranya garau dan meninggi.
Aku masih terbongkok-bongkok di bilik air mencuci tandas. Waktu itu keluarga abang yang sulung balik kampung, riuh rendah rumah dengan jerit pekik anak-anaknya. Aku mesti kumpulkan kayu di dapur. Semua mata memandangku jijik setiap kali emak menengkingku. Malah abang juga semacam emak, bersikap kasar kepadaku dan itu mempengaruhi semua anak-anaknya. Mereka akan mengejek-ngejek dan mentertawakaku sepuas-puas hati. Demi tuhan, tidak pernah di buat sehina itu semasa bapa masih hidup. Apabila emak mula sakit-sakit, kemudian tidak berdaya untuk bergerak dan hanya baring di atas tikar bemban yang buruk. Ku jaga siang malam. Aku sentiasa disisnya. Aku betul-betul mengabdikan diri kepada emak. Aku basuh berak dan kencing emak. Aku bersihkan badan emak, lap dengan air suam, sekali sehari, kutukarkan pakaian emak. Kusuapkan bubur ke mulutnya. Tubuh emak sudah susut sekali. Emak tidak berdaya.
Lesu, lemah, layu. Matanya semakin jauh ke dalam, tidak berdaya. Bibirnya kering dan suaranya lemah dan sayu. Apabila Pak Musa beritahu abang dan kakakku. Mereka Cuma balik sehari dan selepas itu tinggalkan kami berdua di rumah. Tinggalkan aku menjaga emak yang sedang tenat. Masing-masing berasalan tidak mampu menjaga emak. Sibuk dengan kerja. Tidak boleh tinggalkan suami lama-lama dan abang tidak boleh tinggalkan isteri lama-lama. “Kalau aku tua besok, aku ikut anak-anakku….
Dia orang boleh jaga aku. Kau boleh tunggu rumah ini. Pandai-pandailah nak hidup!”Emak pernah mengeluarkan kata-kata itu kepadaku. Belum lama dulu. Hanya bebera bulan selepas bapa meninggal. Aku benar-benar rasa terasing. Aku dan emak tinggal di bawah satu bumbung tetapi dunia kami sendiri-sendiri. Aku simpan jauh-jauh semua kebencian emak kepadaku. Ku depani juga emak. Emak menangis. Menjerit-jerit dan merintih atas katil. Saban malam, hampir tiada lansung ketenangan dan keindahan mimpi. Kadang-kadang emak meronta-ronta dalam dinihari yang sejuk dan sunyi. Tangan emakku pegang kuat. Puas ku pujuk-pujuk biar emak tenang dan ingat tuhan. Emak diam sekejap, kemudian meronta dan menjerit lagi. Emak panggil bapa. Apabila suatu pagi, emak payah hendak bernafas, Pak Musa dan isterinya sudah menunggu di sisi, sehinggalah segalanya berakhir bagi emak, aku tetap mengasihinya.
Kesedihan hatiku tidak mampu ku lindungi lagi. Sayu tambah mengusikku kerana anak-anak emak yang lain, sekadar sembang-sembang di dapur. Lansung tidak menunjukkan rasa hormat kepada jenazah emak. Bukankah bapa selalu menegur dan menunjuk ajar yang terbaik sebagai manusia. Anak mesti hormatkan ibu bapa walaupun orang tuanya bersikap buruk. Kata bapa lagi, anak boleh menuruti apa sahaja kehendak orang tua selagi bukan kepada perkara maksiat. Lupakah abang dan kakak pesan bapa?. Sudah hilangkah penat lelah bapa mengajar?. Para jiran sudah beransur pulang. Saudara mara pun sudah pulang. Kulihat abang dan abang iparku sedang rancak berbual pasal bisnes dan kereta baru. Aku terasa letih dan mengantuk. Aku terus berjalan menuju bilik tidurku dan merebahkan diri di kamar sepiku. Tersentak seketika apabila ku dengar di bilik sebelah, maksudku, di bilik arwah bapa dan emak, suara abang dan kakakku berbicara. Apabila ku dengar betul-betul apa yang dibualkan… rupa-rupanya pasal geran tanah! Bunyi almari di buka dan di selongkor. Beg-beg di buka. Dan tidak lama kemudian bunyi orang berebutkan sesuatu dan tolak menolak antara satu sama lain.
Ya Tuhan! kenapa ini semua berlaku di hadapan mataku, di dalam hidupku. Siapakah berhak ke atas semua ini. Dan bilakah semua ini akan berakhir. Tiada siapa yang tahu apa kesudahan ini semua.
Pendek
Penjara Miri, Sarawak
KUALA LUMPUR: Berang dimarahi kerana menjadi ‘anak ikan’ kepada pengamal seks songsang, seorang remaja berusia 13 tahun membelasah ibunya berusia 38 tahun menggunakan buku lima di rumahnya di Gombak, di sini.
Difahamkan, tindakan biadap remaja lelaki itu memukul wanita yang juga ibu tunggal disebabkan dia melarang anaknya meneruskan hubungan songsang dengan seorang lelaki berusia 20-an yang menjadi kekasihnya sejak lima tahun lalu.
Rahsia percintaan terlarang pasangan itu terbongkar apabila ibu remaja berkenaan menemui wang yang banyak dalam simpanan anaknya itu.
Perasaan pelik yang menyelubungi wanita itu terjawab apabila anak bongsu daripada tiga beradik itu mengakui ‘dibela’ kekasihnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, berlaku pertengkaran antara dua beranak itu apabila wanita berkenaan menegur anaknya supaya meninggalkan kerja terkutuk terbabit.
Huraian :
Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.
Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: “Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah”.
Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia.
Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib.
Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah! Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya.
Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.Cerpen bertajuk beruk ini pernah menyentuh hati ana pada suatu kem Bina Insan Guru (BIG) yang dianjurkan kepada guru-guru pelatih Institut Perguruan Rajang, Sarawak. Lalu pada kesempatan ini, ana kongsikan cerpen ini untuk tatapan insan yang telah bergelar guru, bakal-bakal guru dan semua yang dapat mengambil pengajaran daripadanya. Untuk semua, inilah kisah…
Beruk!
Pukul lapan tiga puluh minit masing-masing masuk bertugas. Cikgu Sunan masuk ke dalam darjahnya, darjah lima. Ketua darjah melaung kuat suruh murid-murid bangun. Masing-masing bangun, tapi sama seperti berbaris tadi. Malas. Cikgu Sunan tidak ambil pusing hal itu.
Separuh masa sudah berlalu. Cikgu Sunan membuat soalan kira-kira yang lain. Tiba-tiba seorang murid masuk senyap-senyap dan duduk di bangku paling belakang. Dia terlewat datang. Cikgu Sunan sedar. Dia memerhati murid itu dengan pandangan tajam, sehingga mata murid itu tidak kuasa menentangnya.
Semakin lama Cikgu Sunan memerhati, murid itu mulai gelisah. Dia pura-pura mencari sesuatu di dalam mejanya. Menggaru-garu betis yang basah dengan air embun. “Alias! Mari sini!” Cikgu Sunan memanggil murid yang datang lambat itu dengan bengis.
Murid yang bernama Alias itu bangun lambat-lambat, kemudian melangkah perlahan-lahan ke depan. Dia tahu, sebentar lagi dia pasti akan menerima habuan. Dan kawan-kawan yang lain pun sudah menduga yang Alias akan menerima habuan. Begitu selalunya.
“Berdiri di situ!” perintah Cikgu Sunan sambil jari tunjuknya menunjuk ke tepi meja tulis. Dia kembali menulis soalan-soalan di papan hitam. Alias berdiri di tepi meja dengan hati yang berdetap-detap. Bimbang. Takut. Gentar. Dia tidak dapat menduga apakah hukuman yang akan dijatuhkan oleh Cikgunya nanti akibat dia datang lambat.
Tapi kali ini dia bercadang, dia akan berterus terang saja. Dia akan bercakap benar walaupun tidak diterima oleh Cikgu Sunan.
“Mari dekat sini, Lias!” perintah Cikgu Sunan apabila dia selesai menulis soalan. Punggungnya yang lebar itu dihentak ke kerusi. Murid yang bernama Alias ini mendekat sedikit. Dia cuma memakai seluar dan baju tanpa dua biji butang bawah. Rambutnya tidak disikat. Berkaki ayam. Betisnya bercalar-calar diguris oleh duri lorong denai yang dilaluinya.
Cikgu Sunan memerhati dari atas ke bawah. Jijik sekali. Rupa bentuk dan pakaian muridnya ini sungguh-sungguh tidak berbeza sejak darjah empat dulu lagi. Alias tidak berani memanggung kepala apabila Cikgu Sunan memerhatinya tanpa berkata sepatah pun. Kaki kanannya menenyeh-nenyeh kaki kiri. Gatal. Jarinya memintal-mintal kaki seluarnya yang lusuh itu.
“Kenapa kau datang lambat?” Akhirnya Cikgu Sunan bersuara. Alias tidak menjawab. Dia tahu walau bagaimana benar sekalipun jawapannya, dia akan kena habuan juga. Dia tahu hukuman yang akan dijatuhkan kepadanya bukanlah berdasarkan sebab-sebab sama ada rumahnya jauh atau aral yang lain. Tapi kerana dia datang lambat.
“Hei beruk! Saya tanya kenapa kau datang lambat?” Cikgu Sunan hampir-hampir memekik.
Alias diam. Dia masih tunduk juga. Panggilan “beruk” kepadanya bukanlah sekali itu sahaja dan bukan sekadar cikgu Sunan seorang. Di sekolah dia sudah masyhur dengan panggilan “beruk” sebab dia membela seekor beruk.
“Pandang sini!” sergah Cikgu Sunan sambil mengangkat dagu Alias dengan pembaris panjang. Alias memanggung kepala. “Saya tanya kepada kau datang lambat?”
Dengan suara tergagap-gagap bercampur takut, Alias menjawab, “Beruk… beruk saya putus rantai, cikgu!”.
“Haaa, kalau dah putus apa yang kau buat?”. Cikgu Sunan bertanya keras. Memang dia tidak pernah beri muka kepada murid-muridnya.
“Saya cari, cikgu!”.
“Dah jumpa?”.
Alias angguk. Tersenyum.
“Sebab itu kau datang lambat?”
Angguk juga.
”Kau lebih pentingkan beruk daripada sekolah ya? Sebab tu kau pun macam beruk”. Cikgu Sunan berleter. Muka Alias dipandang dengan jijik.
“Saya sayangkan beruk saya cikgu. Dia kawan baik saya!” kata Alias dengan jujur.
Marah Cikgu Sunan naik meluap. Jawapan Alias itu sungguh menyakitkan hatinya. Dia menggaru-garu. Tubuh kurus Alias dipandangnya, bagai seekor semut.
“Kau nak main-mainkan saya, ya?” Cikgu Sunan menahan marah. Matanya bersinar-sinar.
“Tidak cikgu, saya…”
“Sudahlah!” Tiba-tiba Cikgu Sunan menempik, Serentak dengan itu satu penampar kuat hinggap di telinga kanan Alias. Alias terhuyung-hayang. Tapi tidak mengangis. Telinganya terasa bengang. Pendengarannya berdengung. Mukanya merah.
Dengan langkah yang lesu dia kembali duduk di kerusi. Kawan-kawan diam membisu. Masing-masing menumpukan perhatian kepadanya.
“Cuba kamu tengok beruk tu! Tak malu. Malas! Kamu semua jangan jadi beruk macam dia!” Cikgu Sunan bersyarah kepada murid-muridnya yang lain. Murid-muridnya diam membisu. Sekali-sekala mereka berpaling melihat Alias yang malang itu. Tapi pada Alias macam tidak ada apa-apa yang terjadi. Kalau tadi dia asyik tunduk, kali ini dia memanggung mukanya dan berwajah tenang. Begitu pun di kelopak matanya ada air yang bertakung.
Tiga hari sesudah itu Alias tidak datang ke sekolah. Daripada desas desus murid-murid yang lain, Cikgu Sunan mendapat tahu Alias sudah berhenti. Dengan tiba-tiba, dada Cikgu Sunan diserkup sayu. Sedih dan kasihan. Dia terasa macam ada suatu dosa yang telah dilakukannya terhadap Alias.
Beberapa ketika dia termenung. Dia tahu perbuatannya salah dari segi undang-undang. Tapi hari itu dia sungguh tidak tahan. Alias telah ponteng bukan sekali dua. Apabila ditanya cuma beruknya saja yang menjadi alasan. Mana hati tidak geram. Tapi apabila dia mendapat tahu bahawa Alias berhenti, perasaan hibanya tidak dapat dikawal lagi. Dia berasa tanggungjawabnya pula untuk menarik Alias supaya belajar semula hingga tamat. Dia menyesal.
Tengah hari itu Cikgu Sunan tidak terus pulang ke rumahnya. Selepas bertugas dia meminjam basikal seorang muridnya dan terus pergi ke rumah Alias yang terletak sejauh empat kilometer itu. Dia tidak memberitahu guru besar. Biarlah hal itu dia selesai sendiri.
Untuk sampai ke rumah Alias, Cikgu Sunan terpaksa melalui lorong sempit yang boleh dikatakan denai. Di kiri kanan lorong itu banyak pokok “keman malu” dan senduduk. Berlopak-lopak. Tidak ada orang lalu-lalang.
Kampung tempat tinggal Alias sangat-sangat terpencil. Sekali-sekala terlintas juga di hati Cikgu Sunan, bahawa memang patut Alias tidak datang selalu ke sekolah. Kalau dia sendiri pun jadi Alias dia tentu tidak datang ke sekolah. Sekali lagi perasaan menyesal menumbuk di hatinya kerana perbuatannya itu tidak diselidik lebih dulu. Akhirnya sampai juga Cikgu Sunan. Dia terpaksa menyeberangi sebatang titi melintasi sebuah parit yang selebar tiga meter.
Alias tidak ada. Berkali-kali Cikgu Sunan memanggil, tapi senyap saja. Tiba-tiba seorang tua menjenguk dari lubang tingkap. Orang tua itu menjemput Cikgu Sunan naik. Cikgu Sunan menolak perlawaan itu, tapi berkali-kali pula orang tua itu menjemputnya. Akhirnya Cikgu Sunan mengalah apabila orang tua itu memberitahu yang dirinya lumpuh, tidak dapat turun.
Sekali lagi rasa sebak menyerang dada Cikgu Sunan. Rupa-rupanya kesulitan Alias berbagai-bagai jenis. Terasa mahu dikerat tangannya yang ganas itu.
“Alias ke mana mak cik?” tanya Cikgu Sunan.
“Entah, dia turun dari rumah tadi pukul sepuluh. Katanya dia nak petik buah kelapa di hujung kampung”.
“Dia panjat pokok kelapa?”
“Takkk, dengan beruknya tulah. Itulah pencariannya sejak mak cik lumpuh,” terang ibu Alias dengan hiba. Di atas alang rumah itu terdapat buku-buku Alias. Dindingnya tembus di sana sini. Tidak ada apa yang boleh dinamakan perhiasan. Cuma satu cermin bulat sebesar tempurung jantan.
“Dah lama mak cik lumpuh?” tanyanya.
“Dah hampir setahun,” terang orang tua itu lagi.
Cikgu Sunan yang duduk di muka pintu sahaja itu mengangguk-angguk. Rasa simpati kepada Alias semakin tebal.
“Saya datang ni nak tau. Mengapa Alias tak ke sekolah lagi?”.
“Entahlah. Katanya dia tak sekolah lagi. Telinganya sakit”.
Cikgu Sunan termenung panjang. Wajahnya berkerut. Sedang dia termenung itu tiba-tiba dia melihat Alias pulang, beruknya di atas bahu. Alias membimbit dua biji kelapa.
“Haa, itu pun dia dah balik,” kata Cikgu Sunan dengan tersenyum. Orang tua itu menjengguk dari lubang tingkap. Dia menyambut kepulangan anaknya dengan pandangan mata saja. Lebih daripada itu dia tidak terdaya. “Begitulah kerjanya setiap hari sejak bapaknya meninggal,” kata orang tua itu dengan sedih.
Alias yang sudah hampir sampai ke rumahnya itu terhenti seketika apabila melihat ada orang di muka pintu rumahnya. Dia macam tidak percaya orang itu ialah Cikgu Sunan. Tapi apabila dia sudah pasti benar, segera dia melepaskan buah kelapa yang dipegangnya. Beruknya diletakkan ke tanah dan dia terus meluru mendapatkan Cikgu Sunan. Dia senyum girang. Bersalam tangan.
Beruk yang ditinggalkannya itu melompat-lompat. Berkereh-kereh bunyinya, kerana orang yang berada di muka pintu rumah tuannya itu belum pernah dilihatnya.
“Dia lama cikgu sampai ?” tanya Alias.
“Baru sekejap,” jawab Cikgu Sunan.
Keramahan Alias sungguh mengejut Cikgu Sunan. Beruk yang ditinggalkan oleh Alias di halaman rumahnya itu melompat-melompat dengan suara garang. Alias menempik beberapa kali supaya diam, tapi beruk itu tetap melompat juga. Dia tidak kenal orang itu guru kepada tuannya.
Cikgu Sunan terpandang telinga kanan Alias. Telinga itu merah dan bengkak nampaknya. Dari lubangnya meleleh benda putih.
“Dekat sini Alias,” kata Cikgu Sunan dengan lembut.
Alias mendengar kata-kata itu berlainan sekali dengan perintahnya semasa sekolah. Kata-kata itu macam, kata-kata orang yang menyayanginya. Dia mendekatkan kepalanya kepada Cikgu Sunan.
“Senget sedikit kepala kau”. Cikgu Sunan berkata lagi. Alias menyengetkan kepalanya. Cikgu Sunan memegang kepala Alias dan menekannya sedikit untuk memastikan telinga Alias yang sakit itu. Tapi dengan tiba-tiba beruk yang sedang marah-marah dan melompat-lompat di halaman tadi, melompat naik lalu menggigit tangan Cikgu Sunan. Beruk itu menyangka orang itu akan menyakiti tuannya.
Cikgu Sunan mengadu sakit. Tangannya berdarah. Beruk masih bergelut. Suasana menjadi kelam-kabut. Alias menempik beberapa kali supaya beruk berlalu. Tapi tempiknya tidak diendahkan oleh beruknya. Beruk itu terus menyerang Cikgu Sunan. Demi untuk menyelamatkan Cikgu Sunan, Alias mencapai sebatang lembing yang digunakan untuk menghimpun buah-buah kelapa, lalu dengan sekuat-kuat hatinya dia meradak lembing itu ke perut beruknya. Cuma itulah saja yang boleh menyelamatkan gurunya.
Beruk yang garang itu menjadi lemah. Terlentang di atas lantai. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, mata hitamnya memandang kepada Alias dengan sayu. Kelopak mata yang berbulu itu tergenang air jernih.
Alias terpaku seketika. Ibunya juga tidak berkata apa-apa. Cikgu Sunan menahan darah di lengannya dengan sapu tangan. Tapi darah yang keluar di lengannya tidaklah sama dengan darah beruk yang telah diradak lembing tadi.
Suasana sepi. Cikgu Sunan memandang Alias, Alias memandang beruknya bagai satu mimpi. Dan ibu tua itu memandang anaknya dengan satu tafsiran yang asing.
Alias tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis tersedu-sedu. Air matanya berderai keluar, jatuh menimpa di atas tubuh beruk kesayangannya. Dia bangun lambat-lambat. Matanya memandang ibunya. Ibu tua itu tetap membisu. Dia tersedu-sedu.
“Terima kasih Alias.” Tiba-tiba dalam kesepian itu Cikgu Sunan berkata. Darah di lengannya masih juga keluar.
“Cikgu sakitkah?” tanya Alias antara sedu-sedannya.
“Tak mengapa, sikit saja. Err, saya balik dulu Lias.” kata Cikgu Sunan, lalu turun dari rumah itu.
“Cikgu…”
“saya minta maaf’,” kata Alias sebaik saja Ckgu Sunan memijak tangga bawah.
“Tak apa…. tapi kau mau ke sekolah lagi?”
Alias duduk. Kaku. Sedih.
“Lebih baik kau ke sekolah, hingga darjah enam” Cikgu Sunan memberi nasihat.
“Saya tidak dapat ke sekolah lagi Cikgu.” Tiba-tiba Alias menjawab sayu.
“Kenapa?”
“Beruk… Saya mencari makan dengan beruk itu cikgu.”
Dada Cikgu Sunan bagai ditikam lembing berkarat. Perkataan Alias benar-benar menusuk hatinya. Barulah dia tahu, bahawa beruk itu pada Alias merupakan tali perhubungan nyawanya selama ini.
Dia melangkah pulang dengan dada yang sebak. Tapi Alias yang terpaku di ambang pintu lebih pilu lagi.
Azizi Hj Abdullah
Dewan Bahasa, Disember 1970